Talkin Yang Berpanjangan

Kematian itu dekat. Selalu berlegar di sekeliling kita. Satu-satu datang dijemputnya. Bagi umat nusantara yang bergelut antara agama dan budaya, melihat kematian sebagai satu kesedihan yang tidak harus dilupakan. Kata-kata syahdu mengingatkan kita kepada kematian orang yang tersayang. Seakan kita tidak mahu melupakan orang tersayang yang pergi dulu meninggalkan kita.

Ulama silam nusantara amat mahir dalam ilmu dakwah. Buktinya, Bagaimana sebuah masyarakat yang sebahagiannya amat kuat kepercayaan dewa alam sekitarnya dan sebahagian lain yang amat kuat kepercayaan hindu dan buddhanya, akhirnya tunduk melutut kepada Allah tuhan semesta alam, tanpa tumpah darah dan perkelahian. Semuanya kerana keindahan akhlak pendakwah dan kemurnian nilai yang dibawa Islam. Begitu lembut jiwa orang Melayu mudah menerima dakwah, sebab itu, dari takbir raya sehingga talkin pun adalah nada sedih yang mengharukan.

Bagi saya, talkin adalah hubungan rohani yang dicetus antara seorang anak dan ibunya yang pergi. Kita mungkin tidak mengingati saat kita mengikat tautan kain di kafan kepala ibu dan bapa. Tapi kita mungkin kekal mengingati saat si anak membaca talkin untuk ibunya, atau memdengar si imam tua membaca talkin kepada ibu atau bapa kita.

Talkin berunsur nasihat pada yang hidup. Tiada salahnya. Mengapa terlalu rigid pada talkin ini sedangkan ianya mrmbawa kebaikan dan kita tidak menjumpai langsung keburukan padanya. Bagi saya talkin penenang kepada mereka yang hidup, yang kehilangan orang tersayang. Bukan semua masyarakat kita pandai agama. Ramai yang masih memerlukan pengisian. Talkin salah satu daripadanya. Bukankah Rasulullah s.a.w berpesan, cukup bahawa mati itu sebagai pemberi nasihat!

Talkin adalah ingatan berpanjangan si anak pada si ibu. Yang mengingatkan anak perihal 'kehidupan' ibunya di alam barzakh. Mendorong si anak bertanya, apa khabar ibunya di sana. Bagaimana sudahnya si ibu... Sudah tidurkah senyenyaknya selepas ditanya oleh si Malaikat? Atau belum berihat?

Anak yang gusar teringat akan pesan Rasulullah s.a.w: matinya anak adam terputus segalanya kecuali 3, sedekah berterusan, ilmu yang bermanfaat sekelilingnya dan doanya si anak pada ibu bapanya. Teringat juga yang apa juga perbuatan salah si anak akan dipalit pada si ibu dan bapa di alam barzakh kiranya sewaktu hidupnya si ibu dan bapa tidak menegur perbuatan salah si anak. Anak yang gusar juga teringat akan belumnya si ibu dan ayah menunaikan haji. Lalu diupah haji untuk mereka berdua andai belum menunaikannya.

Bagi saya, talkin ada hasratnya. Yang hanya difahami oleh mereka yang berdakwah dengan melihat secara halus kepada budaya dan karekter masyarakat setempat. Adunlah ilmu agama dengan kaedah dakwah yang halus dan sempurna. Kerana tanpanya, ilmu agama dilihat rigid dan keras tanpa lenturnya. Semoga Allah memberi hidayah dan taufiq kepada kita dalam memahami agama.

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

Hiasi Harimu dengan al-Quran

Merindui Semangat Muhammad Al-Fatih

Muhammad: Namamu Teragung