Muhammad: Namamu Teragung

Oleh Mohd Amiruddin bin Hamzah

Kesempatan yang singkat, terfikir sejenak kepada satu ayat Allah, dalam satu surah pendek yang seringkali juga dibaca. Sebelum saya ungkapkan ayat suci itu, suka untuk terus menyebut nama ini. Muhammad. Syukur juga kerana nama ini wujud dipermulaan nama saya. InsyaAllah, pada akhirat nanti, saya akan cuba berbangga apabila nama saya dipanggil oleh malaikat. Apa tidaknya, nama yang dipanggil adalah nama seorang yang amat besar di padang mahsyar nanti. Muhammad. Kekasih Allah, tuan empunya padang mahsyar, pemegang anak kunci syurga.

Firman Allah s.w.t:

"Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu
(dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?" - Al-Insyirah 4

Ayat ini secara jelas menjulang tinggi Nabi Muhammad sebagai seorang yang bukan sahaja tinggi nilai pekertinya, malah perkataan namanya sendiri dijulang Allah sepanjang zaman. Lihat saja nama nabi dihubungkan dengan Allah dalam syahadah. Tidak lengkap syahadah tanpa mengakui Nabi muhammad sebagai rasul dan pesuruhnya. Walaupun Nabi-nabi lain sebelum Rasullullah diberikan kemuliaan seperti Nabi Ibrahim menjadi khalil (kekasih), Nabi Musa dapat bercakap (kaliiman) dengan Allah, Nabi Daud dijinakkan kepadanya bukit dan besi, Nabi Sulaiman ditundukkan kepadanya angin dan syaitan (jin), Nabi Isa diizinkan menghidupkan orang mati. Tetapi, bagi Rasulullah, kemuliannya lebih tinggi dari itu apabila namanya dijulang dan diletakkan bersekali dengan nama Allah dalam hati dan sanubari umatnya. Sehingga seorang umatnya membaca al-Quran tidak akan dapat dipisahkan ingatan kepada Allah dan Rasulnya.

Lebih unik lagi, nama nabi bukanlah asing kepada nabi-nabi sebelumnya. Kerana, perkhabaran mengenai kedatangan seorang nabi yang ditunggu-tunggu telah pun diketahui oleh para nabi sebelumnya. Dalam al-Quran sendiri, telah secara jelas merakam percakapan Nabi Isa a.s iaitu melalui firman Allah: Ketika berkata
Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!" - Saff, Ayat 6.

Nabi Isa bukanlah hanya seorang nabi yang berkata-kata mengenai Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Musa juga diberitakan menyebut tentang seorang nabi yang ditunggu-tunggu yang akan menyempurnakan wahyu tuhan kepada Manusia, iaitu yang diutus keseluruh alam. Berbeza dengan rasul lain yang hanya diutus kepada kaum-kaum tertentu sahaja. Perkara ini pernah dibangkitkan oleh arwah Ahmad Deedat yang menulis pengkajiannya "Muhammad Ini bible". Apabila Nabi Musa menyebut mengenai seorang rasul yang akan bangkit daripada saudara kamu (orang yahudi) dan nabi musa maka Ahmad deedat menyimpulkan dua kriteria yang terkandung dalam ayat bible tersebut iaitu "saudara" dan "sepertinya". (Transkrip dialog ahmad deedat boleh didapati di sini atau di youtube.)

Kenapa barat menyerang peribadi Rasulullah s.a.w?
Pembacaan penulis diteruskan lagi melalui beberapa laman-laman artikel yang memaparkan perdebatan antara agama. Dari keseluruhan yang dibaca, penulis dapat menyimpulkan bahawa kebanyakan kecenderungan pendokong agama kristian untuk menyerang nabi melalui konseptual yang mereka rumuskan berdasarkan pembacaan mereka terhadap teks-teks terjemahan kebahasa mereka dan juga pemikiran logik mereka. Sebagai contoh penulis David Wood, dalam laman beliau answering-islam.org menukilkan beberapa artikel yang sangat juridistik mendakwa kesongsangan Nabi Muhammad sendiri. Beberapa karya orientalis juga yang pernah dibaca oleh penulis juga berbentuk sedemikian, iaitu menyerang secara khusus terhadap Rasulullah s.a.w. Dakwaan seperti Nabi Muhammad s.a.w seorang yang "pembohong", "lemah dalam pemikiran beliau", menggunakan skriptual taurat dan injil untuk membentuk al-Quran dan sebagainya. Wa 'iya zubillah.

Tindakan menyerang peribadi seorang Rasulullah s.a.w yang diterima oleh berbillion-billion manusia adalah amat janggal. Manusia diberi akal yang sempurna seperti juga para orientalis itu. Masakan manusia berbillion-billoin ini boleh tertipu sekiranya peribadi Nabi itu sangat songsang. Tidak ada satu perkataan pun daripada Nabi s.a.w. yang menyongsangkan masyarakat. Carilah sepotong ayat al-Quran dan mana-mana hadith yangm enyerang peribadi rasul-rasul utusan Allah sama ada kepada kaum Israel atau mana-mana kaum lain. Bahkan, Al-Quran mengiktiraf semua rasul dan memperbetulkan fitnah yang dibuat oleh kitab-kitab tertentu terhadap para nabi.

Nabi Nuh dan Lut misalnya, ditulis sebagai peminum arak dan berzina dengan anak mereka sendiri. Sengguh jelek tulisan seperti ini boleh ditulis dalam sebuah kitab suci. Justeru, Al-Quran datang dengan membersihkan segala kotoran ini dan mengiktiraf rasul-rasul sebagai seorang yang benar, beriman dan tidak melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. Bahkan, Islam mengiktiraf 124000 nabi dan daripada jumlah ini 313 adalah rasul. Kemurnian agama adalah apabila agama itu menjaga kehormatan para rasul dan bahkan mereka yang dicela dalam Al-Quran seperti Namrud, Fir'aun, Haman, Abu Lahab, golongan munafiqin dicela dengan cara yang berhemah dan mendalam.

Muhammad dalam Skripture Agama Lain
Kemuliaan Muhamamd dalam sebagai rasul yang dijanjikan pada akhir zaman, yang membawa kepada penyatuan umat manusia. Belum ada lagi satu agama pun yang menyatukan dan mensama ratakan semua kaum dalam kehidupan. Sedang agama-agama yang ada pada waktu itu membawa kepada perbezaan darjat dalam masyarakat, pengiktirafan kepada golongan bangsawan dan berada dan sebagainya. Islam datang dalam keadaan ganjil iaitu mengajak manusia menyembah sesuatu yang tidak dilihat mata, dan berimankan kepada seuatu yang hanya boleh disentuh dengan akal dan iman.

Signal kedatangan Rasulullah s.a.w telah diungkapkan dalam banyak kitab-kitab suci selepas pengkajian terhadap mereka dibuat. Kitab torah misalnya, veda dan kitab-kitab agama buddha, semuanya dipercayai menukilkan nama Nabi Muhammad s.a.w. Adalah dipercaya, Muhammad merupakan nama pertama yang wujud kepada manusia. Masalah yang timbul adalah, kebanyakan kitab-kitab suci tersebut ditulis dalam bahasa asal yang diterjemahkan. Perkataan Muhammad disebut hanya dalam bahasa yang bukan asal (arab) tetapi bahasa bangsa masing-masing. Mungkin kalau ada kitab bagi kaum Melayu, pengkisahan yang nabi muhammad sebelum kedatangan Nabi agung ini, ditulis sebagai "Yang Terpuji" dan bukan menggunakan perkataan "Muhammad".

Penutup
Penulis kesal apabila membaca tulisan-tulisan orientalis barat yang negatif tentang rasulullah s.a.w. Tidak ada satu pun perkataan para Pendakwah islam yang mencela mana-mana daripada 55 Rasul orang yahudi. Bahkan Al-Quran mengiktiraf mereka. Al-Quran menempelak sikap mereka kerana mempermainkan dan membunuh Nabi-nabi mereka selepas nabi-nabi mereka menegur perbuatan mereka. Ada dipotong kepala, digergaji tengkoraknya, dan ada yang pijak perutnya sampai terburai. Kemudian, mereka berdoa lagi agar diturunkan Rasul untuk menjadi pembela mereka. Penulis teringat tentang pengkisahan apabila Nabi Muhammad s.a.w melihat anaknya, Fatimah menangis kerana melihat Rasulullah sedang sakaratul maut. Nabi mengungkapkan, "janganlah engkau menangis anakku, kerana tiada lagi kesengsaraan buat ayahmu selepas ini.". Nama Rasulullah amatlah agung, yang menggetarkan pendengarnya dengna kewibawaannya. Bersyukurlah penulis memiliki sepotong nama yang agung ini, dan mengharapkan penulis mengikut jejak langkah manusia agung ini, untuk memberi salam kepadanya di syurga nanti. InsyaAllah... amin. /ah.



Comments

Popular posts from this blog

Hiasi Harimu dengan al-Quran

Merindui Semangat Muhammad Al-Fatih