Jangan Bermain dengan Api Khianat

1. Khianat adalah satu perbuatan yang memang dibenci dan tidak disukai. Daripada khianat ini datanglah rasuah dan penyelewengan. Cari sahaja dimana-mana, pastinya perbuatan khianat ini tidak dapat diterima oleh agama, undang-undang atau masyarakat.

2. Ada yang khianat atas kepercayaan teman-teman. Bahkan ada juga yang khianat dengan kuasa. Semuanya berlaku dalam keadaan sedar yang dipilih oleh pembuatnya. Apa yang mendorongnya usahlah ditanya. Ianya pasti dijadikan alasan. Sebab anak, sebab kesempitan hidup, tiada pilihan dan sebagainya.

3. Memang bagi setiap perlakuan khianat ini adalah disediakan dengan siksaan oleh Allah swt di akhirat kelak. Namun begitu, sering kali manusia mudah melupakannya. Kadang kala perlakuan melakukan khianat ini telah bersemi menjadi budi dan darah sesetengah dari kita.

4. Saya pernah mendengar satu kisah bahawa pernah berlaku satu perebutan pusaka. Kerana anak-anak yang ditinggalkan si mati masih kanak-kanak, semua hartanya diambil oleh bapa saudara mereka. Tidak lama selepas kejadian itu berbagai-bagai kecelakaan menimpa bapa saudara itu. Semuanya aneh. Tetapi yang paling mengejutkan apabila kereta yang di-"parking" cantik dengan "handbrake"-nya dipasang, dikatakan meluncur gerak ke dalam sungai. Anak-anaknya juga ramai yang menjadi doktor tidak terlatih (dibaca penagih dadah).

5. Begitu juga kisah seorang wanita yang sanggup bersumpah di dalam Mahkamah atas penyaksian palsu, dengan berkata wallahi wabillahi watallaahi yang kemudiannya tidak lama selepas itu menjadi gila segila-gilanya kerana ditanggap telah membuat penyaksian palsu itu. Kisah ini biasanya disebut oleh para hakim syarie sebelum membenarkan keterangan secara bersumpah syarak diambil.

6. Saya juga pernah mendengar kisah sorang yang memiliki wang secara tidak hak, yang akhirnya rumah mereka yang telah diubah menjadi mahligai, dikerik oleh anai-anai yang luar biasa serangannya. Sangat cepat. Yang akhirnya menyebabkan ratusan ribu dibelanjakan untuk merawat serangan serangga perosak itu.

7. Begitu juga saya pernah mendengar seorang pegawai penguatkuasa yang memakan rasuah, yang akhirnya Allah berikan kesakitan dan penyakit kepada anaknya yang tidak berdosa. Penyakit berkenaan tidak sembuh sehingga kering harta bendanya.

8. Lihatlah betapa sukarnya kalau kita memakan harta yang bukan hak kita. Lebih-lebih lagi kita makan harta anak yatim atau orang-orang teraniaya. Allah mengenakan caj yang mahal untuk kita membayarnya.

9. Kalau begitu, cukuplah dengan gaji yang kita ada. Jika sesak, kurangkan kuantiti yang dimakan dan makanlah apa yang mampu. Kerana kita tidak tahu betapa marahnya Allah terhadap kita apabila kita berlaku khianat. Allah pastinya tahu sejauhmana tahunya kita bahawa khianat itu salah. Relatifnya, semakin tinggi ilmu, semakin tinggi nilai kafarah kepada kita sebagai balasannya.

10. Lebih memeritkan kalau kita ditangkap pihak berkuasa. Harta dirampas dan anak isteri dibiar tanpa harta yang boleh menyara mereka.

11. Walaupun kita tahu perbuatan kita itu tidak dikesan oleh pihak berkuasa kerana wujudnya "loop hole" dalam pentadbiran, seperti sendiket rasuah kerana mempercepatkan proses dalam mengeluarkan permit dan sebagainya, ingatlah bahawa Allah maha tahu dan kita memakan harta yang tidak hak pada kita. Kalau mahu cepatkan, cepatkanlah untuk semua permohonan. Jangan hanya  mempercepatkan mereka yang membayar duit kopi untuk kita.

12. Beringat sebelum bertindak. Artikel ini ditujukan kepada mereka yang masih belum melakukan khianat dan berkira-kira untuk melakukannya. Kepada yang telah, masih boleh kembali ke pangkal jalan. Tapi tentulah ada kafarahnya. Bersedialah. Lambat laun ketahu juga. Hakikatnya, bak kata pepatah, bangkai gajah itu besar, tidak boleh ditutup dengan nyiru besar mana pun. Wallahu alam. Semoga ada manfaatnya.

Comments

Popular posts from this blog

Hiasi Harimu dengan al-Quran

Merindui Semangat Muhammad Al-Fatih

Muhammad: Namamu Teragung