Ramadhan Mengeratkan Hubungan Suami Isteri

Gambar hiasan
Ramadhan adalah bulan dimana penumpuan umat Islam lebih kepada ibadah puasa. Kita sering mendengar pesanan yang popular daripada junjungan besar kita Nabi s.a.w bahawa seseorang yang berpuasa itu mendapat dua kebahagian, pertama ketika berbuka puasa dan kedua adalah ketika bertemu Allah swt pada akhirat nanti.

Hadith ini memberi gambaran bahawa ibadah puasa adalah ibadah yang akan memberikan kebahagian kepada umat Islam yang berpuasa. Walau pun berbuka puasa bersendirian atau dengan rakan-rakan, keriangan itu tetap ada. Mungkin kita teringat kenangan-kenangan berbuka seisi keluarga membuatkan suasana yang tenteram dan aman, sukar untuk dicari ganti dengan duit dan kekayaan.

Bagi mereka yang bekeluarga, waktu berbuka puasa amatlah dinanti-nantikan. Anak-anak bersama-sama dihadapan juadah dan bersungguh-sungguh mengaminkan doa berbuka puasa apabila dibacakan oleh si ayah ataupun anak-anak yang lebih besar. Kemanisan berbuka puasa ini memberikan gambaran bahawa puasa menjadi medium yang penting dalam memastikan rumah tangga berlangsung dalam keadaan harmoni dan bersatu hati.

Sistem kekeluargaan moden adalah sistem yang sangat fragile yang mana sangat mudah untuk retak sekiranya tidak dijaga dengan rapi dan berhikmah. Dengan sistem sosial yang terbuka walaupun kita duduk di rumah, menjadikan rumah tangga dan institusi kekeluargaan sangat kritikal untuk diperhatikan. Begitu juga tuntutan hidup yangm emaksa para ibu keluar bekerja dan bapa juga terdedah dengan kenalan baru juga perlu diberi perhatian.

Penting untuk kita melihat bahawa kehadiran Ramadhan ini bukan sahaja membawa rahmat kepada rohani kita, tetapi yang lebih utama, kehadiran Ramadhan dapat menguatkan lagi hubungan suami isteri dan anak-anak. Para suami bermanja-manjaan dengan masakan isteri, dan para isteri terasa aman dengan bacaan doa oleh sang suami. Begitu juga urusan kekeluargaan lain haruslah dimuhasabah dan melihat keberkesanannya dalam hubungan suami isteri.

Rancanglah program-program bersama keluarga agar ibadah puasa yang dijalani merapatkan hubungan kekeluargaan. Pupuk semangat berbuka bersama-sama keluarga, cuba lupakan masalah atau kekhilafan yang silam dan bawa semuanya ke arah satu harapan.

Bagi mereka yang diambang perceraian, gunakanlah ibadah puasa sebagai satu platform untuk merapatkan kembali hubungan suami isteri. Puasa dapat menghapus perasaan pentingkan diri dan dapat membantu kita mencari titit persamaan antara keduanya. Kadang-kadang kita memperbesarkan masalah yang kecil dan lebih mementingkan rasa kita tanpa kita pedulikan rasa orang lain. Inilah masa untuk berubah.

Bagi yang telah berpisah, mungkin jodoh tidak ada lagi untuk mereka. Cuma, penting untuk diingati, para bapa masih lagi perlu mencurahkan kasih sayang dan nafkah pada anak-anak hasil perkahwinan mereka. Jadikanlah ramadhan sebagai tempat untuk anak-anak melepaskan rindu. Mungkin si bapa terlalu amarah dan baran sebelum ini. Semoga dengna ramadhan dapat membuang sifat-sifat tersebut. Atau bagi si isteri, mungkin sebelum ini terlalu mengikut kata hati sehingga perkahwinan yang indah tidak bertahan lama. Ketika inilah penting untuk mereka mencari medium demi kebahagian anak-anak mereka.

Kesimpulannya, bulan Ramadhan adalah sebuah bulan yang memberi ruang kepada kita untuk menukar tabiat, sifat atau cara kita untuk menjadi yang lebih baik. Tempoh 30 hari adalah cukup untuk merubah diri kita. Dan yang lebih penting, Ramadhan adalah rahmat Allah kepada kaum muslimin untuk mengecapi nikmat kebahagian di dunia dan akhirat. Allahu akbar, walillahil Hamd.

Amir Hamzah
Putrajaya
14 Ramadhan 1436

Comments

Popular posts from this blog

Hiasi Harimu dengan al-Quran

Merindui Semangat Muhammad Al-Fatih

Muhammad: Namamu Teragung