Doakan Kesihatan Agar Kita Dipelihara ketika UjianNya
![]() |
| Gambar Hiasan |
Namun, nikmat kesihatan ini amatlah sukar untuk dijaga melainkan kehendak Allah swt yang ingin memastikan kita sihat sama ada sebagai satu nikmat kepada hambaNya atau sebagai satu ujian atas kesihatan kita seperti diceritakan, si Firaun tidak pernah mengalami sakit sehingga dia rasakan dia adalah tuhan yang patut disembah oleh kaumnya lantaran sihatnya dia. Begitu juga, kisah seorang pakar tulang yang mendapat anak yang mengalami jantung berlubang. Pakar itu masih lagi menagih simpati manusia lain yang lebih pakar dalam hal-hal berkaitan jantung agar diberikan kesembuhan kepada anaknya. Begitu kerdil diri kita. Namun kita percaya bahawa Allah memberikan rasa sakit dan kesihatan terganggu, merupakan tanda kasih sayangNya kepada hamba supaya kembali kepada Nya dan memohon kesembuhan.
Sebagai seorang Islam, kita mungkin tidak sedar bahawa, perihal kesihatan ini selalu didambakan oleh kita dimana juga kita berhubung dengna Allah swt secara langsung. Dalam solat misalnya, bacaan ketika duduk antara dua sujud, kita memohon agar Allah swt memberikan kesihatan dan afiat kepada kita, begitu juga dalam doa-doa yang kita bacakan di dalam solat kita seperti ketika Doa Qunut kita memohon agar Allah menyihatkan kita. Begitu juga ketika berdoa selepas solat, kita selalu menyebut "wa aafiyatan fil jasadi", dan kesihatan pada tubuhku. Begitu juga ayat-ayat al-Quran yangm enjadi penawar kepada penyakit-penyakit sama ada lahiriah atau batiniyyah seperti firmannya dalam Surah al-Israa'. Dan kami turunkan al-Quran yang menjadi penyembuh dan rahmat kepada orang-orang beriman. Begitu juga dengna selawat syifa "wa aafiyati ajsadi wasyifaa iha"... dan (dengan selawat itu) memberi kesihatan kepada jasad dan penyembuhan kepadanya.
Bacaan-bacaan ini menggambarkan betapa Islam menitik beratkan kesihatan dan menjadi kewajipan kita agar memelihara kesihatan tubuh badan kita. Firman Allah yang selalu kita dengar "Dan jangan kamu campakkan dirimu ke arah kebinasaan". Sebab itu Islam melarang umatnya terus menerus mengambil produk-produk tembakau ataupun berbentuk dadah yang merosakkan manusia. Begitu juga makanan dan minuman berperisa dan mengandungi bahan-bahan kimia yang boleh membahayakan kita walaupun hukum meminum dan memakan minuman dan makanan tersebut adalah halal dari segi Syarak. Kita perlu ingat bahawa Allah mengehendaki kita memakan daripada rezkinya yang halal dan baik sahaja. Pastinya sesuatu keburukan kepada diri membawa kepada kemurkaan Allah swt.
Saya berpengalaman melihat seorang yang terpaksa mendapatkan rawatan di hospital. Betapa pendapatan mahupun kekayaan dunia tiada apa-apa makna berbanding kesembuhan dirinya. Ini kita melihat kepada mereka yang berada dan kaya. Kalau kita lihat kepada mereka yang miskin, malah ditimpa dengan penyakit yang kronik yang memerlukan kos yang tinggi untuk dirawat. Tinggallah mereka terbaring menunggu rawatan dan belas ihsan daripada orang sekelilingnya. Sehinggakan di bumi barat, mereka yang tidak dilindungi insurans kesihatan ditinggal dari mendapat rawatan. Alhamdulillah dalam Islam, kita masih mempunyai konsep fardhu kifayah yang mana berdosa sekelian umat disekeliling saudara muslimnya yang membiarkan seorang muslim itu menderita tanpa diubati sedangkan disekitar mereka mempunyai mereka yang mampu mengubatnya tetapi enggan kerana mereka mementingkan bayaran dan wang ringgit.
Kuliah hari ini, secara kesimpulannya mengajak kita mensyukuri nikmat kesihatan dan menyedari bahawa kesihatan ini berkait langsung dengan pencipta kita, Allah swt. Mintalah dengan bersungguh-sungguh agar diberi kesihatan yang berterusan kepada kita, dan ahli keluarga kita dan sekiranya Allah menguji kita dengan kesakitan, ujilah seringan-ringannya. Setiap detik kita antara dua sujud, bersolat subuh, berdoa selepas solat, berselawat mahupun melintasi ayat-ayat al-Quran berkait kesihatan mahupun penyembuhan, beringatlah bahawa Allahlah sumber kesihatan kita dan kepadaNya kita memohon. Kadang-kadang kita lupa terutama apabila kita tidak diuji dengan gangguan kesihatan. Kita tidak mahu bahawa kita tergolong dalam mereka yang dimaksudkan dalam firman Allah yang mafhumnya, manusia hanya mencari perlindungan Allah ketika dia dalam kesusahan dengan berdoa bersungguh-sungguh, sebaik sahaja dia diselamatkan ataupun selamat, mereka akan lupa kepada Allah swt dan lebih teruk apabila mereka berpaling daripada ayat-ayat Allah swt.
Semoga Allah memberi kita keselamatan dan kesihatan berterusan supaya kita mempertingkatkan pengibadatan kita kepadanya. Amin.
17 Ramadhan 1436
Putrajaya.
http://www.fb.com/kumpulandakwah

Comments