Komunikasi Berkesan sebagai kunci Bahagia Suami Isteri

Membangunkan sebuah keluarga yang bahagia adalah satu proses yang amat mencabar. Keluarga bahagia tidak tampak begitu sahaja. Ianya dibangunkan dengan rasa yang penuh terbuka, menerima dan memberi. Tiga ulam kehidupan ini, amat penting untuk menjadikan kebahagian ini berkekalan, bukan hanya pada malam pertama sahaja.

Pasangan muda mungkin tergelap mata dengan keseronokan bercinta tanpa mampu melihat kehadapan tentang apa yang akan berlaku selepas berkahwin. Keperluan kewangan, keperluan bersosial pasca perkahwinan dan sebagainya. Cuba kita lihat, berapa banyak pasangan yang bercerai dalam tempoh perkahwinan yang masih muda. Hanya kerana gagal mencari titik persamaan antara dua graf lekuk kehidupan suami dan isteri.

Ketika saya pernah bertugas di Mahkamah Syariah suatu ketika dahulu, saya pernah melihat bagaimana seorang wanita yang membalingkan kasut ke arah suaminya yang menurutnya telah berbohong kepadanya. Tidak kurang juga kes-kes keretakan perkahwinan kerana campur tangan ibubapa. Itu sebenarnya lebih memeritkan kerana ibubapa masih lagi merasakan anak mereka belum matang untuk membuat keputusan dalam menentukan masa depan perkahwinan mereka.

Dalam menguruskan penajaan pelajar kini, agak mengejutkan apabila terdapat banyak permohonan untuk berkahwin seawal usia di universiti. Pelajaran masih setahun jagung. Adakah kerana nafsu yang tidak tertahan? romatisme yang meresap atau sekadar suka-suka melihat orang lain berkahwin, atau takut si jelita dikebas orang?

Kalau mengikut lagu P.Ramlie, perkahwinan mana yang tidak ada argument atau percakaran (baca perbezaan pendapat) antara suami dan isteri. Mana ada yang tidak ada, semua ada. Cuma kaedah mana yang perlu kita sama ada lelaki atau perempuan, perlu lakukan agar pertelingkahan itu menghasilkan bahagia. Pertelingkahan bermula dengan kemarahan tetapi berakhir dengan bibit-bibit percintaan, seperti baru disegarkan bunga kasih sayang antara suami dan isteri.

Allah menjadikan hormon-hormon badan yang berupaya untuk menukar keadaan emosi. Sehinggakan tercetus emosi amarah dan tidak berpuas hati ke atas pasangan masing-masing. Pertelingkahan yang berlaku adalah kesan daripada komunikasi berkesan. Perkahwinan adalah salah satu proses untuk mencari titik pertemuan antara suami dan isteri. Titik pertemuan tersebut adalah hasil daripada toleransi, rasionalisasi dan juga persepsi pasangan. Sekiranya argumen terjadi, bermakna proses komunikasi itu tela berlaku dalam keluk yang sepatutnya. Argumen menunjukkan pasangan mengambil berat berkenaan diri pasangan yang lain, sambil pada masa yang sama memperjuangkan hak dan kepuasaan kehendak diri sendiri.

Apabila saya bercakap kepada rakan-rakan yang mencari jalan memperbaiki perkahwinan mereka, saya melihat kekurangan komunikasi sihat antara suami isteri berupaya menjadi barah yang hadir tanpa disedari. Sebab itu, sesetengah pakar perhubungan menasihatkan agar kunci percayaan berdasarkan keinginan untuk berkongsi segala-galanya antara suami dan ister. Berkongsi lebih awal akan menyebabkan persepsi terhadap setiap seorang suami atau isteri lebih mempercayai antara satu sama lain.

Sekiranya anda membaca catatan saya, dan anda mempunyai masalah dengan suami atau isteri anda, saya cadangkan agar dicari titik persamaan antara anda berdua. Kita bukan Mr Perfect 10 dan dia bukan Miss Universe, yang seakan tiada kekurangan. Kita manusia biasa yang punyai kelebihan dan kekurangan. Bawa pasangan anda berbincang dengan setiap seorang meletakkan kepentingan keluarga dan anak-anak sebagai teras kepada keputusan. Kerana, keputusan perceraian bukan mudah dan laluannya sangat berliku. Cari titik pertemuan, terima seadanya kelemahan dan yang perting kita perbaiki.

Catatan oleh Amir Hamzah
Putrajaya, 22 Feb 2015.


Comments

Popular posts from this blog

Hiasi Harimu dengan al-Quran

Merindui Semangat Muhammad Al-Fatih

Muhammad: Namamu Teragung