Kalau Rindu Hari Yang Lalu

Rindu adalah satu anugerah tuhan yang tak ternilai. Apa itu rindu? Rindu adalah nostalgia. Kebiasaannya, rindu adalah ingatan terhadap apa-apa yang meruntun jiwa kearah keseronokan, kekaguman dan keindahan.

Merindui mati adalah tanda orang yang cerdik. Itu sabda junjungan. Orang yang paling cerdik adalah orang yang paling banyak mengingati mati. Kenapa? Mati mendamparkan jiwa kita kepada yang Esa, mengecutkan diri dari keagahan jiwa. Lebih dari itu, mati memulangkan kita kepada penciptaan asal. Manusia dicipta daripada tanah. Tetapi sebelum itu, manusia dijadikan lebih awal dalam bentuk ruh. Tanpa kita tahu aturan ruh itu, tapi kita percaya, kita lebih awal diciptakan dari jasad kita. Rindu kepada satu peristiwa, kita dihimpun bersama-sama, putih bersih setiap ruh, sehingga Allah swt menanyakan kita, Akukah Pencipta Mu?, kita menjawab, Bahkan, Engkaulah tuhan kami.

Merindui saat ruh suci di alam lahut, asyik dengan keagungan Allah, butiran-butiran tasbih, tahmid, dan takbir mengesakan Dia. Alam penuh ketengangan dan keasyikan. Tetapi ia tidak kekal lama. Kita diseret ke dalam jasad kita di perut sang ibu. Bernyawa dan berdarah. Muncul tangan dan mata. Semua anugerahnya yang kita tidak tahu apa penghujungnya, apa hikmahnya.

Rindu datang kerana kita terlupa, terlupa kepada pengakuan kesanggupan amanah yang kita ambil semasa roh kita dijadikan. Amanah yang Allah sifatkan, kerana kebodohan kita, tidak mengingati bahawa kita akan akhirnya mati. Amanah sebagai khalifah dimuka bumi ini. Sedang Allah bentangkan amanah itu kepada seluruh galaksi pun, bulan bintang matahari, tunduk gentar takut pada amanah tersebut, tetapi kita memangkunya. Hanya kerana kita terlupa bahawa kita akan mati. Disoal kerananya. Dibedal atas kealpan terhadapnya.

Kita rindu, dan hanya untuk mengubatinya, kita runtun kembali jiwa kita kepada asal ciptaan kita, tiada sengketa, tiada dusta, tiada tangisan, semuanya gembira dengan ketenangan dan naungan rahmat Allah swt atas ciptaan kita di kewujudan ini.

Kita rindu alam ruh, yang mana kita akan kembali lagi ke sana. Berbeza, tetapi tetap sama.

Comments

Popular posts from this blog

Hiasi Harimu dengan al-Quran

Merindui Semangat Muhammad Al-Fatih

Muhammad: Namamu Teragung