Kalau ada seorang yang sepertimu, tidak kami seperti ini
![]() |
| Gambar hiasan sahaja. Cerita di entry ini mungkin berbeza dengan versi buku ini sekiranya ada. Entry ini bukan sebahagian daripada buku ini. |
Kisah mengenai umar seperti saya nukilkan dalam entry lepas seperti di sini.
Tidak dapat saya nafikan yang kisah Umar ini sangat meruntun jiwa saya. Keunikannya, kehebatan jiwanya membuatkan rasa kecil diri ini. Kita bertilam empuk, sedang dia berguni kasar tidurnya. Matinya hanya berpusakakan beberapa dirham sahaja. Mati kita meninggalkan sebuah rumah dan kereta. Ya Allah, kehebatan Saidina Umar ini membuatkan hati kita sangat kecut. Kalau saya boleh bertemunya dalam mimpi, ingin saya mencium tangannya sepuas-puasnya.
Ketika tentera Islam di bawah komandernya Ubaidah mengepong Baitul Makdis, pemuka Yahudi telah berusaha untuk menguji kekuatan iman tentera Islam. Ditaburnya kepingan imas terbaik berhampiran kem tentera muslimin. Emas itu cantik buatannya sehingga bergemerlapan dipancar matahari. Namun menghairankan, tidak ada seorang pun tentera muslimin daripada puluhan ribu tersebut yang memandang kepada emas-emas itu. Kata pemuka Yahudi tadi, jika seorang daripada mereka berpaling kepada emas itu sesaat, nescaya kumpulan itu tidak akan menakluki kota ini.
Kemudian, setelah gagal percubaan pertama, dicuba kali kedua, dibarisnya perempuan-perempuan terbaik dari segi wajah dan bentuknya dan disuruhnya mereka berdongdang sayang tanpa seorat benang. Namun kehadiran mereka hanya seperti tunggul kayu bagi orang Muslim. Daripada puluhan ribu tentera yang mengepung Baitul Maqdis, tidak ada seorang pun yang mengarah pandangan kepada perempuan-perempuan tersebut. Sehingga pulanglah perempuan-perempuan yahudi itu kepada pemukanya, lalu di kata, mereka tidak melihat kami walau sedikit, kami pelik, adakah mereka ini manusia atau pun malaikat.
Setelah 4 bulan, lalu dihantarlah utusan kepada tentera Ubaidah, lalu dimaklumkan bahawa mereka sedia untuk menyerahkan kunci Baitul Maqdis kepada umat Islam. Namun begitu, atas kemuliaan tempat tersebut, kunci itu hanya akan diserahkan kepada Khalifah Islam sahaja, iaitu Umar. Lalu Ubaidah menghantar utusan kepada Khalifah dan akhirnya Khalifah bersetuju untuk datang mengambil kunci tersebut. Namun keberangkatan Khalifah Umar hanyalah bersama seorang pegawainya, menaiki seekor unta.
Pegawainya menjemputnya menaiki unta tersebut dan dia berjalan kaki. Tetapi Khalifah Umar membuat satu persetujuan dengan pegawainya, setiap seorang akan bergilir-gilir menunggangi unta tersebut sepanjang bacaan surah yaasin. Kalau bacaan pertama umar menaiki kenderaan, bacaan kedua, pegawainya akan menaiki kenderaan dan Umar akan berjalan kaki. Apabila bacaan ketiga kedua-dua mereka berjalan kaki atas kedudukan memberi rehat kepada unta tersebut. Bacaan keempat akan berulang lagi putaran tersebut.
Perjalanan tersebut mengambil masa berbulan-bulan. Umar tanpa pengawal keselamatan seorang pun. Setelah umar melalui kem tentera Islam, Umar tidak mengizinkan seorang pun dari tentera Islam mengikutinya. Tatkala sampai berhampiran pintu gerbang kota Baitul Maqdis, pada waktu itu giliran pegawainya menaiki unta. Lalu dipelawa pegawainya akan umar supaya menaiki unta. Tidak kena kalau seorang khalifah yang berjalan kaki sedang pegawainya menaiki kenderaan. Umar enggan dan menyatakan bahawa mereka telah mempunyai perjanjian. Selanjutnya, sampailah Umar dihadapan para pemuka yahudi bersama pegawainya. Hairanlah seluruh penduduk yahudi bagaimana seorang khalifah boleh berjalan diatas kakinya, sedang hambanya diatas tunggangannya. Sedang pemuka agama dan kaum mereka memakai pakaian yang gah dan hebat bagi menyambut khalifah yang menguasai sebahagian besar tanah Arab.
Maka berkatalah pemuka terbabit, aku akan menyerahkan kunci ini kepadamu. Tetapi sebelum itu, izinkan aku mengira tampalan di bajumu. Lalu pemuka terbabit mengira keseluruhan tampalan. Didapatinya keseluruhannya adalah 16 tampalan. Pemuka itu berkata, aku hanya menyerahkan kunci ini kepada orang yang mempunyai 17 tampalan pada bajunya. Lalu umar mengangkat tangannya dan ternyata satu tampalan tersembunyi di bawah lengan atasnya. Lalu berkata pemuka terbabit, Injil ku menyatakan kunci ini hanya diserahkan kepada seorang pemimpin yang mempunyai 3 tanda. Tanda pertama, Dia datang dalam keadaan kakinya penuh berlumpur kerana berjalan kaki jauh di atas padang pasir. Kedua, dia masuk ke kota ini dengan keadaan dia berjalan kaki menuntun tali untanya, sedang pegawainya mengunggangi unta tersebut dan ketiga orang itu mempunyai 17 tampalan. Maka aku serahkan kunci ini kepadamu.
Kisah ini memberi dua intipati yang harus difahami oleh tentera Islam dan pemimpin Islam itu sendiri, sekiranya mereka ingin membuka kembali kota Baitul Maqdis. Pertama kualiti iman tenteranya dan kerendahan hati pemimpinnya. Sekiranya umat Islam mencapai tahap ini, barulah Baitul Maqdis itu akan dimiliki kita. Buanglah retorik perjuangan ke arah baitul maqdis. Wujudlah sifat ini dalam diri kita untuk melepaskan Baitul Maqdis. Kemenangan ke atas Baitul Maqdis bukan semata-mata usaha, tapi adalah pemberian Allah swt.
Semoga kisah ini memberi sedikit manfaat kepada kita. Saya tidak dapat pastikan asas cerita ini akibat kekurangan ilmu yang ada pada saya. Namun, saya percaya kisah ini benar terjadi dan berharap ianya akan berlaku lagi pada zaman ini. Wallahua'lam.
(Saya olahkan bahasa penulisan ini mengikut bahasa daripada ingatan saya sendiri. Mohon maaf atas kekhilafan dan kekurangan).

Comments