Cerita Waktu Tidur: Kisah Tok Wali

Gambar hiasan. Syoknya kalau anak-anak kita secantik ini
pakaiannya, dan secantik pakaian ini akhlaknya.
Cerita #1. Kisah dari ibu... di sebuah kampung ada seorang penduduk bernama Razali... kerjanya mencangkul tanah ditepi masjid. Setiap kali azan masuk, Razali ini tetap melakukan kerjanya. Tidak menghiraukan orang yang datang ke masjid. Seusai solat, orang pulang dan Razali masih melakukan kerjanya. Begitulah setiap hari dan setiap waktu.

Orang kampung yang datang bersolat tidak abih-abih mencemuh Razali dibelakang kerana tidak bersolat bersama. Tentulah kalau ikut hukum akal kita yang belajar agama di kampung, Razali mestinya menghormati orang bersolat, dan sepatutnya Razali masuk saf untuk bersolat bersama. Boleh dikatakan semua jemaah datang ke surau mencemuh, setidak-tidaknya dalam hati masing-masing. Kenapa begitu, kenapa begini, jahil sungguh hamba Allah ini sehingga tidak bersolat sedangkan orang lain bersolat sama... Sehingga suatu hari, seorang daripada mereka akhirnya bercakap dengan nada yang tinggi kepada Razali dan menyuruhnya solat bersama-sama. Teguran itu tidak dihiraukan oleh Razali.

Pada petang yang sama, seorang haji baru pulang daripada perjalanan haji dari Mekah dan datang menunaikan solat ke masjid. Didapatinya Razali tidak lagi kelihatan dikebunnya. Lalu ditanya pada jemaah yang hadir ke surau, dimanakah Razali ini, kemudian dijawab oleh mereka, mungkin telah lari kerana ditegur. Tak mengapalah menurut mereka, kerana mereka berpendapat ketiadaan Razali lebih baik. Berkata Haji yang beru pulang itu "MasyaAllah, aku melihat Razali datang bersolat setiap waktu di Masjidil Haram. Yang menghairankan, masa kepergian aku ke Mekah, tidak aku dapati Razali bersama ku di atas kapal". Maka tahu lah orang kampung Razali itu bukan sebarangan orang yang boleh ke Mekah ketika mereka bersolat di surau. Moralnya, jangan mudah mencemuh orang, sebab kita tidak tahu apa martabatnya di sisi Allah swt.

Cerita #2: Seorang pengembala kambing dihujung kampung mempunyai sekawanan besar kambing. Yang peliknya, setiap kali orang datang membelinya, walaupun diborong separuh daripada kambing tersebut, namun setelah dikira balik, jumlah yang ada tetap sama seperti sebelum jualnya. Maknya kalau sebelum dijual ada 50 ekor, dibeli 25 daripadanya, namun selepas pembelian itu, kalau dikira, kambingnya tetap 50 ekor.

Cerita keajaiban ini akhirnya sampai kepada penduduk kampung yang hairan mengenai bilangan kambing tersebut. Lalu datang fikiran seorang daripada mereka, "mungkin mamat ini seorang wali. ini lah keramatnya. Apa kata kalau kita pergi dan bersolat di belakangnya." Lalu mereka pun pergi ke gembala tersebut, lalu dimohon agar pengembala tersebut memimpin solat mereka. Akhirnya, pengembala tersebut bersetuju dan semua pun bersolat bersama-sama. Apabila pengembala tersebut memulakan bacaan al-Fatihah dan surah lazim, dibacanya salah dari segi tajwidnya. Ada panjang ada pendek, tidak seperti yang dipelajari oleh penduduk kampung. Seusai solat, orang kampung tersebut meninggalkanya. Ada antara mereka tergelak dan tersenyum apabila seorang daripadanya berkata. "Aku ingatkan dia seorang wali, tapi lihatlah bacaannya semua salah." Lalu baliklah masing-masing ke rumah dan sehingga malam tidurlah mereka.


Tidak semena-mena, setiap seorang daripada mereka yang bersolat tadi didatangi oleh seorang yang berjubah putih dalam mimpi mereka. Lalu dikatakan oleh lelaki terbabit, "sesungguhnya sepanjung umurmu, baru sebentar tadi Allah menerima solatmu di belakang pengembala itu". Tersentaklah sekalian mereka mengenai mimpi tersebut. Lalu masing-masing menceritakan sesama mereka. Akhirnya mereka berpakat untuk bertemu dengan pengembala tersebut, untuk sekurang-kurangnya mereka bermohon maaf. Mereka sekali lagi pergi ke tempat gembala tersebut, terkejutnya mereka, tempat gembala telah tiada dan pengembala tersebut tiada lagi termauklah kambing-kambingnya. Tempatnya seperti tidak disentuh orang. Barulah mereka sedar pengembala tersebut mungkin memang seorang wali.


Moralnya, Allah tidak melihat semata-mata pada lahiriah, Allah sangat melihat hati. Walaupun menurut ilmu kita ada mereka salah, tapi belum tentu kerana ilmu Allah itu maha luas. Bukan soal kita ikut, tapi kita perlu jaga hati kita supaya bersangka baik kepada semua orang, tidak gelakkan orang atau merendahkan orang lain. Semoga Allah terima amal kita. Walaupun sedikit, terhad, moga Allah terimanya dari hati kita yang ikhlas. Amin. 

Wallahu a'lam....

(Kisah ini diolah balik bahasanya daripada bahasa yang diceritakan ibu kepada saya. Sayang ibu. Mohon mak doakan keampunan diri ini...)

Comments

Popular posts from this blog

Hiasi Harimu dengan al-Quran

Merindui Semangat Muhammad Al-Fatih

Muhammad: Namamu Teragung