Kalau begini takutmu pada Allah

Orang yang paling takut kepada Allah daripada kamu adalah golongan ulama. Ulama bererti, mereka yang alim iaitu tahu sedalam-dalamnya dalam satu ilmu. Dalam pengistilahan Melayu, Ulama disandarkan hanya kepada golongan agamawan yang memperjuangkan setiap detik hidupnya untuk berbakti kepada Allah s.w.t dan Islam. Ulama mestilah berani menyatakan "bahawa tuhan ku adalah Allah" walaupun mata pedang diletak di atas batang tengkuknya. Ulama mempamerkan sifat tawakkal yang paling tinggi dan tidak bergantung kepada pemberian manusia.

Kemodenan dunia hari ini, mungkin sukar untuk mencari seorang ulama diletak mata pedang pada lehernya dan disuruh untuk meninggalkan Islam, sehingga ulama itu berkeras dan menyatakan Allah adalah tuhanku dan Islam adalah agamaku sehingga kerongkongnya dicarik-carik oleh pedang itu. Tetapi dalam kaedah moden ini, lebih merbahaya kerana ulama dikelilingi dengan kemewahan dunia sehingga ada sesetengahnya yang berpaut pada kesenangan dunia dan ditipu oleh dunia. Ada ulama yang takut berkaki ayam kerana sebelum ini berkenderaan. Ada ulama takut berselimutkan embun kerana sebelum ini selesa diperbaringan empuk.

Perkataan Ulama adalah kata ganda bagi mereka yang berilmu. Tetapi dengan ilmu bukanlah bererti seseorang itu tergolong dalam golongan yang takut kepada Allah. Ilmu menjadi wasilah untuk mengenal Allah. Tidak kiralah bentuk apa ilmunya, tetapi secara relatifnya, ilmu agamalah yang membawa kepada rasa kasih dan cinta pada Allah. Justeru, ilmu yang menebal dalam diri adalah menjadi baja kepada perasaan takut kepada Allah. Datang satu pepatah Arab yang masyur, Ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah. Pokok rambutan yang tidak berbuah, amatlah menghairankan hati tuannya kerana dihujung hari tuannya mengharapkan suatu hasil daripada nya. atau kata lainnya, ulama yang tidak beramal, tidak mempunyai hasil yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.

Rosaknya ulama yahudi apabila mereka gagal mengeluarkan intipati asabiah daripada diri mereka, sehingga mereka menolak Rasulullah kerana berlainan bangsa dengan mereka. Menjadikan bangsa yahudi antara contoh yang paling baik berkenaan dengan ulama ini. Mereka memiliki tiga kitab iaitu Zabur, Taurat dan Injil yang diturunkan kepada tiga nabi daripada golongan mereka. Bahkan ilmu mereka tentang Nabi s.a.w disifatkan oleh Allah s.w.t seakan-akan mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Tetapi mereka tetap menolak nabi dan akhirnya duduk dalam kelompok kaum mereka. Mereka mengharamkan orang lain dari memeluk agama mereka. Bagi mereka, yahudilah sahaja yang berhak mengekalkan status quo dalam pelbagai aspek. Lihatlah sekarang, mereka terkepung dengan kepungan bayang-bayang mereka sendiri.

Masyhur satu cerita mengenai abid yang kuat beribadah. suatu hari abid ini berjalan ke pasar dan secara tidak semena-mena si abid terpandang kepada seorang wanita pelayan (kalau zaman sekarang, GRO). Perasaan abid terbabit berubah dan rasa ingin bersama wanita itu ssangatlah kuat. Sehingga si abid pulang dan menjual segala pakaiannya untuk mendapatkan sedikit wang. Apabila abid itu pergi ke rumah wanita terbabit, dan apabila abid berhadapan dengan perempuan tadi, tiba-tiba datang perasaan takut kepada Allah. Lalu abid itu menggigil dan wanita berkenaan bertanya, kamu berasa takut kerana ini pertama kali berbuat perkara ini? Abid menjawab, tidak, aku menggigil kerana takutkan Allah Taala. Abid berkenaan menangis lalu berlari keluar dan meletakkan pasir di atas kepalanya. Kisah ini amatlah luar biasa, di mana seorang yang alim dan beribadat boleh hampir tumbang dengan nafsunya sendiri. Tetapi dengan rahmat Allah jua, perasaan takut itu dicampakkan kepadanya.

Justeru, perasaan takut hendaklah dipupuk dan merupakan antara rahmat Allah kepada hambanya. Semoga Allah melindungi perasaan takut kita dan berterusan dibawah naungan rahmat taqwanya.

Comments

ustazshafiee said…
This comment has been removed by the author.
ustazshafiee said…
salam

teringat kata seorang guru:
engkau bekerja bukan kerana seronok mengumpul wang, tetapi engkau bekerja kerana meginfak harta

engaku mencari ilmu bukan kerana seronok dengan kesarjanaan, tetapi engkau menuntut ilmu kerana engkau seronok dapat menyebar kebenaran..

itulah zuhud adikku. hati tidak teringat dengannya bahkan terungkai sepenuhnya..

dunia yang mimpi dibetulkan dengan akhirat yang realiti..

salam dari kula terengganu

Popular posts from this blog

Hiasi Harimu dengan al-Quran

Merindui Semangat Muhammad Al-Fatih

Muhammad: Namamu Teragung