Makan dan makanlah, sampai kenyang... lupa dan lupalah, apabila kenyang...
Kesempatan yang sebentar tadi bermuzakarah (ingat mengingatkan) antara saya dengan kekanda berlangsung melalui YM... jauh, dari Kuala Terengganu ke Washington DC. Topik yang dibincangkan amatlah ringkas. Sebentar tadi selepas isya', berkesempatan melihat sepotong klip video di Youtube, seorang Ustaz bernama Ustaz Azhar (sangat glamour di Terengganu) mengajar mengenai adab duduk dalam toilet... katanya, bagi ulama, ada dua sifat utama, pertama tidak duduk lama dalam toilet melainkan darurah, bahkan ulama akan keluar dari tandas apabila selesai Qada' hajatnya.Sifat kedua menurutnya, Ulama tidak berperut buncit. Kerana perut buncit itu akan membuatkan seseorang menjadi lembab, malas, benak (bahasa Terengganu - lambat faham, mudah lupa). Terasa juga tertampar diri sendiri. Walaupun saya bukanlah seorang 'alim dari kalangan ulama', tapi cukuplah kalau diri ini mahu mencontohi ulama'. Atau, kalau tidak mampu, mengasihi ulama'. Rasa tertampar di pipi kanan, apabila berut sendiri telah 'naik'. Orang kata, biasalah, lepas berkahwin, perut memang naik... isteri masak yang bagus-bagus...
Berkesempatan bercakap dengan kekanda... sempat saya mengajukan sifat-sifat ini. Kekanda saya tersenyum dan menerangkan.. menurutnya, kekenyangan adalah hijab, iaitu pembentang yang membentangi mata hati kita dengan Allah s.w.t. Menurut kekanda saya, para sahabat Rasulullah s.a.w r.anhum, amat takut pada kekenyangan. Apabila mendapat sebutir tamar, mereka takut sekiranya mereka memakan tamar itu mereka akan berasa kenyang. Lalu akhirnya, mereka menghisap sahaja tamar itu, diambil rasanya sahaja. Agar dengan itu, mereka tetap tidak kenyang.
Keterangan: Memang menjadi satu kemasyuhuran di kalangan pendokong Islam pada zaman Rasulullah s.a.w mendidik nafsu melalui kelaparan. Bukan kerana tiada wang atau harta, tetapi, kemanisan rasa lapar itu menjadi aset kepada ibadah mereka. Atas kelaparan itu, mereka boleh bertahan berdiri selama berjam-jam mengadu kepada Allah, kerana mereka tidak mahukan dunia. Apa yang mereka mahu adalah disegerakan mati mereka, agar mereka bertemu Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w sendiri adalah model yang paling tinggi dalam mengadaptasi kelaparan sebagai pendidik nafsu manusia. Baginda tidak mempunyai apa-apa di rumah. Sekiranya ada yang memberi hadiah, Baginda akan mensedekahkan kembali hadiah berkenaan secara keseluruhan kepada sahabat-sahabat lain yang memerlukan. Menangis Abu Bakar dan Umar apabila melihat keadaan ini, mengapa Rasul agung ini melalui hidup yang penuh siksaan, berkawan dengan lapar dan bertemankan dahaga. Tidak ada lagi ketua negara yang melalui jalan ini, sebelum atau selepas Baginda.
Kita amatlah berbeza dengan mereka. Kita takutkan lapar. Takut lapar nanti akan menghilangkan tumpuan kita kepada pekerjaan. Takut lapar nanti akan merobek usus-usus kita sehingga menjadikan kita manusia yang tidak sihat, tidak cukup protein dan sebagainya. Padahal, kekenyangan itulah yang membawa kepada penyakit, kekanyangan itulah yang membawa kepada kemalasan dan cenderung melakukan dosa maksiat.
Ada beberapa kisah besar yang kita boleh kenangkan di sini. Kisah Saidina Umar Ibn Aziz, Cicit kepada Saidina Umar r.a, merupakan seorang yang paling layak di contohi. Mengepalai sebuah empayar besar sehingga Eropah, mempunyai bala tentera yang mengecutkan dada musuh, mempunyai kekuasaan yang amat luar biasa. Pernah satu ketika, beliau hairan melihat mengapa anak-anaknya bercakap dengannya dalam keadaan menutup mulut mereka. Lalu di tanya, mengapakah anakanda menutup mulut apabila bercakap dengan ayahanda? Lalu dijawab, Wahai ayahanda, kami takut bau bawang putih dari mulut kami akan mengganggu ayahanda. Lalu menangis hibalah baginda lalu berkata, "aku adalah khalifah, sedang di dapurku tiada apa yang ada untuk anak-anak ku melainkan bawang putih sahaja". Bayangkan seorang khalifah yang mendedikasikan seluruh jiwa, hartanya, anak-anaknya ke arah Islam yang mulia.
Adakah pemimpin umat Islam mampu mencontohi kepimpinan ini? Apabila berjalan, dikelilingi oleh pembantu, pengawal dan berbagai-bagai orang, dengan menunjukkan kemewahan dan kekayaan, berumah besar dan bertilamkan empuk, sedang masih ada lagi rakyat yang menadah air yang tiris dari celahan atap zink berkarat? Susurilah perjalan Umar r.a., apabila melawat tanah Baitul Maqdis yang baru dibuka oleh tenteranya, baginda hanya ditemani oleh seorang pegawai menaiki unta. Beliau bergilir-gilir mengenderai unta terbabit dengan pegawainya. Apabila sampai ke Baitul Maqdis, gilirannya berjalan dan pegawainya duduk di atas Unta, maka menangislah penduduk Palestin melihat seorang khalifah agung Islam, menapak di tanah memasuki kota suci itu.
Adakah lagi seorang yang boleh malamnya berbantalkan lengan dan beralaskan pelapah tamar? Saya yakin, kalau ada, itulah mujaddid yang Rasulullah s.a.w khabarkan bagi umat akhir zaman ini. IsyaAllah. /ah.
Comments