Hakikat Perkahwinan: Manis dan Pahit Kehidupan Satu Rahmat Mengenal Tuhan

Oleh Mohd Amiruddin Hamzah

Bermula penciptaan Manuia Adam dan Manusia Hawa. Bermulalah kisah sejarah pengkhalifahan manusia yang tidak lagi padam sehingga kini. Allah dengan rahmat dan kasihNya memenuhi tuntutan jiwa manusia agar segala kelebihan yang Allah berikan menjadi jambatan ke arah keredhaanNya. Manusia itu adalah ruh yang disaluti oleh jasad tanah hidup yang menjadi darah daging mereka. Diselaputi juga nafsu yang asal kejadiannya buas. Ditundukkan nafsu dengan iman yang menjadi kunci kehidupan. Dikurniakan perasaan cinta dan kasih sayang (mawaddah) antara lelaki dan perempuan, sanak saudara dan lebih penting, kasih sayang kepada maha pencipta.

Rumahtangga sebenarnya satu rahmat kepada Manusia. Rumahtangga memberi jalan kepada manusia untuk menyalurkan nafsu dan hawa dirinya ke landasan yang diiktiraf oleh syariat Allah s.w.t. Perkahwinan membawa kepada perkongsian hidup, memelihara darah dan keturunan agar turun menjalar membelah masa dengan penuh kebanggaan dan kemuliaan. Perkahwinan bukan sahaja mendekatkan dua keluarga, tetapi berpuluh-puluh keluarga dan tidak lain adalah untuk berkenal-kenalan antara satu sama yang lain. Begitulah besarnya perkahwinan ini disisi syara' dan di sisi kehidupan manusia.

Penulis pernah teringat ketika mempelajari ilmu perkahwinan ini, Ustaz ada membuat perbandingan "isteri itu umpama sebuah rumah sewa." Ustaz ini tidak memanjangkan eleborasinya mengenai pendapatnya itu. Apabila penulis melihat, mengamati, memang benar, isteri itu bukanlah seperti rumah sewa tetapi menyamai konsep sebuah rumah sewa. Kita ambil contoh, apabila kita menyewa sesebuah rumah kita pasti diikat dengan satu ikatan kontrak. Kontrak itu adalah pernikahan. Dalam kontrak ini kita akan berjanji untuk membayar jumlah tertentu kepada tuannya, tuan itu adalah perempuan yang kita nikahi sedang bayaran itu adalah nafkah kepadanya. Kita bertanggungjawab terhadap segala sesuatu terhadap rumah itu, peraturan-peraturan dan keselamatannya. Tetapi kita tidak boleh sewenang-wenangnya merosakkannya. Bilik air dijaga bersih, dapurnya serta fungsinya berjalan seperti baru. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membetulkan kerosakan rumah itu kecuali dibenarkan pemiliknya. Melubangkan sesuka hati kita dilarang. Yang paling penting, rumah itu bukan milik kita, ia kekal milik tuannya. Selagi mana kita menjaganya dengan baik, selagi itulah tuan kita akan memberikan kita kekal menyewanya, jika sebaliknya, boleh sahaja kita ditawar pergi.

Analogi ini, mungkin kita lihat dari luarannya agak rapuh. Namun membawa satu konsep yang cukup kuat bahawa perkahwinan ini bukanlah satu hakikat bahawa kita memiliki seseorang perempuan. Tetapi kita diamanahkan menjaganya. Tidaklah boleh kita memperlakukan dia sewenang-wenangnya kerana kita tidak memilikinya. Perumpamaan ini juga memberi kekuatan kepada kaum wanita bahawa mereka itu berharga dan lelakilah sebanarnya menumpang kasih sayang daripadanya. Kerana setiap satunya saling memerlukan, menjadikan hakikat perkahwinan sebagai satu perkongsian hidup.

Islam menggariskan bahawa perkahwinan yang sah adalah satu kunci kepada kesempurnaan agama. Ada hadith yang menyebut, perkahwinan itu menyempurnakan sebahagian daripada agama dan hendaklah lelaki itu menyempurnakan sebahagian yang lain. Melihat pada peri pentingnya perkahwinan ini dijaga dan dibajai, haruslah kita berdoa agar perkahwinan kita akan cerah berpanjangan tidak mendung, kilat atau ribut ditengah hari atau penghujung senjanya.

Ada orang diberikan tuhan jodoh di dunia sebelum matinya. Ada yang tidak ditakdirkan jodoh kepadanya sehngga matinya. Ada yang sukar bertemu jodoh dan akhirnya hanya bernikah seorang janda atau duda. Ada yang menduda setelah kamtian isterinya. Ada yang gelap kebahagiannya apabila dikhianati oleh isteri atau suaminya. Bermacam-macam lagi keadaan yang ada. Namun begitu, ingatlah bahawa semua itu adalah ketentuan Allah dan sebenarnya dinatijahkan daripada pilihan dan jalan yang kita pilih. Justeru, tidak lah wajar menyalahkan takdir kenapa dan kenapa, kerana kita memilih dan membenarkannya. Semua ini hanyalah ujian. Hakikatnya, kita tidak bersatu selamanya walaupun bahagia kehujungnya hayat kita. Pasti juga bercerai pada hujung kematian kita.

Benarlah analogi pertama iaitu konsep menyewa sahaja. Setiap seorang dipertanggungjawabkan bagi dirinya dan amanah di pikulnya. Tidak seperti dunia, kita akan membela isteri dan anak-anak demi untuk sesuap nasi. Bersama-sama. Tetapi di akhirat, kita membela diri sendiri dengan iman dan amal sendiri. Suami mendapat rahmat apabila isteri dan anak-anak dibimbing secara qurani. Isteri mendapat rahmat apabila maruah suami dijagai dan rumah tangga dijaga demi keredhaan suaminya. Hanya dengan rahmat tuhan untuk menemukan kita disyurga, itupun kalaulah ada redha tuhan untuk kita mengetuk pintu syurga. Sebaliknya? Berseoranganlah ke neraka menghabiskan sisa-sisa kehidupan yang tidak akan luput selama-lamanya.

Perkahwinan adalah satu rahmat. Menjadi medan untuk membantu kita melalui hisab yang lebih ringan dan cepat. Satu keluarga yang didasari atas iman dan amal, menjauhkan diri daripada kemewahan yang mengundang bencana, pastinya menjalankan bahteranya dengan aman dan damai walaupun di lautan bergelora. Keluarga yang baik bukanlah keluarga yang kaya, berharta, banyak bilangannya, cantik darah keturunannya, tinggi darjatnya. Itu hanyalah retorik dunia yang akhirnya tidak membawa apa. Tetapi keluarga yang baik adalah didasari dengan dasar takwa, seimbang iman antara suami, isteri dan anak-anak, pendidikan anak-anak yang bertunjangkan tauhid dan akhlak. Biarlah perut hanya berisi ketulan nasi sejuk semalam. Tetapi pada waktunya beribadat dan bersolat bersama-sama keluarga. Tanpa seorangpun tercicir. Biarlah hanya beratapkan beberapa helaian besi panas, tetapi siangnya dipenuhi dengan usaha membesarkan dan mendidik dengan penuh ilmu keimanan dan ilmu dunia.

Kalau kita tersenyum puas dengan anak yang Allah berikan kepada kita, kenanglah kepada mereka yang telah bertahun kahwin tidak dikurniakan anak. Kalau kita tersenyum puas melihat anak kita 'galak' berlari apabila mendapat kaki, kenanglah ibu bapa yang mendapat anak istimewa, yang hanya terlantar dihujung tilam menghabiskan umurnya. Kalau kita tersenyum melihat anak-anak ramai, kenanglah bagaimana ibubapa ditinggalkan anak-anak diwaktu tuanya walaupun anak mereka ramai dan berkedudukan. Sebagai mana senyumnya kita, ingatlah pada mereka yang tidak memiliki apa yang kita ada. Barulah akhirnya, kita menjadi hamba bersyukur lantaran keluarga yang bahagia, ditunjangi dengan iman dibaniri dengan tauhid. Jadilah keluarga kita ibarat pohon kuini yang manis buahnya, tidak buruk dan berulat isinya dan dikenang orang apabila habis riwayatnya. /ah.

Comments

ustazshafiee said…
abang teringat kata-kata ustaz abang masa belajar bab munakahat.. perkahwinan ibarat lautan.. semua orang bercerita pasal keindahannya, deru anginnya, mesra ombaknya. apabila kita berjumpa seorang pelayar, dia bercerita tentang betapa kejamnya ombak ditengah lautan, betapa teriknya panas di sana.. betapa gelapnya tatkala malam. bila berjumpa dengan seorang penyelam.. dia kan bercerita tentang keindahan batu karang, kecantikan ikan yang warna warni.. dia juga bercerita tentang jerung yang begitu bahaya, yang sentiasa menunggu peluang. kata ustaz, macam tu lah perkahwinan. penuh misteri..

ke guaner?
MaMa NabIhAH said…
setuju dgn ustazshafie, perkahwinan itu umpama lautan, makin jauh kita layari lautan, makin banyak perkara yang kita pelajari, makin dalam airnya kita selam, makin banyak kita teroka rahsia alam, makin lama kita di lautan, makin alah dengan angin ribut dan ombaknya. lautan itu kawan, lautan itu jugalah lawan, hanya mereka yang bersiap-sedia sahaja yang akan berjaya mengharungi lautan itu.

Popular posts from this blog

Hiasi Harimu dengan al-Quran

Merindui Semangat Muhammad Al-Fatih

Muhammad: Namamu Teragung