Betulkah kamu faham?, "Hidup ini permainan!"

Oleh Mohd Amiruddin Bin Hamzah

Manusia dipilih menjadi khalifah membatasi peluang makhluk lain seperti Jin dan Haiwan. Sehinggalah Iblis enggan mengiktiraf manusia akibat daripada kesombongan dirinya bahawa dia dan bangsanya lah yang mempunyai hak untuk memakmurkan dunia. Memikirkan dirinya elit, lantaran ibadat yang dilakukannya dan keistimewaannya mengetuai mahkluk cahaya yang lain bangsa daripada dirinya dan bukannya makhluk tanah yang dicipta daripada lumpur dan air yang hina. Kebanggaan manusia diciptakan menjadi khalifah kemudiannya dicela dengan satu bentuk kenyataan bahawa manusia adalah terdiri daripada orang yang tidak tahu (jahil) kerana memikul amanah yang tidak sanggup dipikul oleh makhluk lain termasuklah haiwan dan tumbuhan. Haiwan dan tumbuhan mungkin tahu kesenangan apabila menjadi khalifah, tapi mereka tahu akan tanggungjawab bahawa amanah itu akan diaudit balik di hari kemudian. "Exit conference"nya hanyalah dua iaitu Syurga dan Neraka.

Manusia selepas turun kebumi mencipta tamadun. Ada sebahagiannya kekal sehingga hari kini. Diberikan kekuatan kepada manusia untuk memakmurkan dunia melalui politik dan sosialnya. Maka berjalanlah amanah yang dipikul oleh manusia yang diwarisi sejak nabi Adam a.s. Perjalanan ini kemudiannya membibitkan penyakit-penyakit yang terbit daripada virus nafsu yang kemudiannya menjadi mutan sehingga kekal sampai ke hari ini. Lihat sahaja perjalanan kaum yang Nabi Lut diutuskan kepadanya. Virus syahwat sejenis itu kemudiannya berjalan dan mutan sehingga ke hari ini. Maka lahirlah satu masyarakat yang menamakan diri mereka "gay" dan "lesbian" yang mengamalkan seks sejenis yang maha jijik ini. Lihat pula bagaimana agama yang pada asalnya dibawa oleh Nabi Adam a.s iaitu Islam, ditokok tambah oleh manusia lantaran sifat kekauman yang tinggi di antara mereka dan sombong mengatakan agama kaumnya betul walaupun mereka menyembah batu. Jadilah agama yang berkecamuk hari ini yang membawa kepada kesesatan yang jelas.

Ihsan sebagai tonggok amal
Manusia dibekalkan bukan sahaja dengan keupayaan untuk berfikir, tetapi beberapa urat yang menyambungkan pemikiran itu dengan otot-otot yang membolehkan menggerakkan tangan dan kakinya sama ada memikul cangkul atau ke bendang. Otot ini juga digunakan sebagai otot untuk mengerjakan ibadah apabila manusia menghantar signal dari hati ke akal dan ke tangannya untuk mengangkat takbir ratul ihram. Otot dan saraf ini juga bergerak dari akal ke nafsu tanpa melalui iman di hati apabila signal dihantar melalui saraf ke otot-otot zakarnya untuk melakukan zina. Otot-otot ini juga disalurkan kepada tangannya untuk menadah beberapa keping duit syiling yang diperoleh daripada anjing perasuah. Lihatlah betapa fleksibelnya komponen-komponen utama manusia ini, otot, akal dan hati.

Berbeza dengan haiwan, memiliki perkara yang sama, tetapi fleksibelitinya amatlah kurang. Yang ada hanyalah rutin hidup yang biasa iaitu bangun pagi, mencari makan, mencari yang betina atau jantan untuk mengawan, mencari tempat untuk bersalin kemudinnya mati. Tanpa satu pun penderhakaan kepada Allah, mereka tetap dalam rutin yang sama. Begitu juga dengan tumbuhan. Berbuah dan berdaun, mengikut musim. Sedang manusia mempunyai rutin yang sama, tetapi dicampur dengan tokok tambahnya untuk membuat kehidupan mereka lebih bermakna.

Ihsan dan Itqan Berpihak kepada Rohani
Itqan (atau tekun) dan Ihsan merupakan dua kunci rohani yang diciptakan tuhan untuk menjadikan perisai manusia menghadapi Iblis dan kuncu-kuncunya. Tidakkah kita teringat apabila terjadinya peristiwa iblis enggan memberi sembah hormat kepada manusia Adam, Iblis bersumpah mahu menyesatkan semua keturunan Adam, kecuali mereka yang ikhlas sahaja. Dan ihsan dan itqan ini secara jelas disebut sebagai satu timbangtara yang penting menentukan keikhlasan seseorang. Sebagaimana ihsan dan itqan itu tidak boleh dilihat, begitulah juga ikhlas. Kedua-dua konsep ini disebut oleh Rasulullah s.a.w dalam sabda Baginda. Ihsan bermaksud kamu melakukan sesuatu ibadah seolah-olah kamu melihat Allah s.w.t. Walaupun kamu tidak melihatnya tetapi Allah s.w.t melihat kamu. (Hadith Bukhari). Oleh kerana pengibadatan kita pada Allah merangkumi ibadah khusus dan ibadah umum, maka konsep ini terpakai secara keseluruhan di dalam kehidupan kita.

Seorang yang berkerja, melakukan kerjanya dengan penuh ihsan. Buruh yang mengikat batu-bata yang menjadi tiang misalnya, tetap melakukan yang terbaik dalam kerjanya walaupun pada waktu itu mandurnya tidak ada. Walaupun buruh itu boleh membuat selaput luar yang tidak mungkin dapat di kesan oleh mandurnya yang ikatannya tidak sempurna. Ini kerana, buruh itu mengetahui konsep ihsan ini, bahawa biarpun orang lain tidak melihatnya, tetapi Allah s.w.t mengetahuinya. Sekiranya kita hanya mengikat konsep ihsan dalam penemuaan khusu' dalam sembahyang semata-mata, atau ibadat lain seperti zakat dan puasa, sesungguhnya kita telah merobek separuh daripada perisai kita yang digunakan untuk menangkis lembingan hasut-menghasut makhluk iblis dan syaitan.

Sementara itqan atau tekun dalam versi Melayunya, meletakkan pekerjaan seseorang yang ihsan menjadi lebih baik dan sempurna. Tekun akan menjadikan sesuatu pekerjaan itu sampai ke penghujungnya melalui jalan yang sebenarnya. Kerana tekun dan dicampuri ihsan, jadilah satu bangunan yang diikat batu batanya mengikut spesifikasi buku. Oleh kerana tidak ada ihsan dan jauh pula dengan ketekunannya, teruslah batu-bataitu diikat tanpa mengikut ukurannya dan lambat pula lah siapnya. Tekunlah membuatkan sesuatu kerja sempurna dan kesempurnaan itulah menjadi kunci keredhaan Allah s.w.t, kerana Allah amat menyukai orang yang tekun dalam pekerjaannya.

Kerana tekunlah yang menggabungkan konsep ihsan dengan konsep-konsep lain seperti konsep akhlak yang lain iaitu kusyu', tawadhu', zuhud, tawakkal dan istiqaamah. Seseorang yang tekun pastinya menjadikan dirinya tetap pada fokus (kusyu') yang betul, seseorang yang tekun menjadikan dirinya penuh dengan kerendahan diri lantaran ihsan yang bergenang dijiwanya. Begitu juga zuhud menjadikan dia hidup bersederhanaan dan tidak bermewah-mewah. Tawakkal apabila kita tahu kita tetap dibela kerana Allah maha tahu kerana memerhatikan kita. Sedang istiqaamah iaitu tetap terus menerus dilandasan yang betul adalah natijah apabila kita mengadunkan konsep ihsan dan tekun dalam melakukan kebaikan.

Ketekunan jugalah yang membawa Islam kepada kita pada hari ini. Mungkin 7-8 generasi di atas kita tidak memiliki imah secantik Islam. Mungkin mereka menyembah pokok-pokok atau kuasa alam yang mereka sendiri khayalkan. Tetapi dengan ketekunan pendakwah, Islam kita kecapi sama seperti Sahabat r.a anuti. Kerana pendakwah membunjutkan segala komponennya melalui jalan tekun seperti kusyuk, zuhud, tawaddu', tawakkal dan istiqaamah. Pendakwah sebenar akan tekun dalam bersabar, tekun dan kusyuk, tekun dalam beritiqaamah.

Akal dan Hati
Akal biasanya ditunjukkan kepada kepala sementara hati ditujukan di dada. Hati dan otak adalah dua ketul daging yang dimiliki oleh makhluk seperti manusia dan haiwan. Namun yang dimaksudkan dengan hati di sini adalah hati yang berbentuk ruhaniyyah, begitu juga dengan akal iaitu susuatu yang berbentuk ruhaniyyah. Mudah sahaja analoginya. Seekor singa tidak ada hatinya (dibaca perasaan) apabila membaham seekor anak rusa. Tetapi manusia ada hatinya apabila tidak mahu anaknya didedah kepada kegelapan malam dan kenduri nyamuk coklat. Sedang akal pula adalah bagaimana manusia boleh memikirkan jalan untuk memperbaik dan memperindah sesuatu, tetapi tidak pada binatang yang hanya mengikut haluan rutin yang mereka warisi daripada ibu-bapak mereka.

Akal dan Hati diselaputi Nafsu. Nafsu pasti menuntun akal dan hati ke arah kesesatan. Justeru, akal dan hati bukanlah lawan kepada nafsu. Tapi lawan sebenar kepada nafsu adalah iman. Daripada iman akan terbitnya ihsan dan tekun itu, dan juga sifat-sifat lain yang baik. Sementara dari nafsu akan terbit sifat-sifat lain yang tidak baik seperti sombong, lalai, takabbur, tidak mengenal tuhan. Apabila pertembungan dengan iman, jika kuat iman itu, tunduklah nafsu menjadi nafsu yang tenang dan membuka jalan kepada terbitnya natijah iman. Sebaliknya nafsu sekiranya menang, akan terbitlah sifat-sifat buruk yang datang dari fitrah kejadian manusia iaitu lumpur yang hitam dan halus.

Jadilah hidup ini satu permainan. Dipihak satu, pasukan yang disertai oleh khusyu', tawakkal, istiqaamah dan segala macam kebaikan yang dilatih oleh iman. Sepihak lagi adalah pasukan yang diwakili oleh segala macam keburukan dan pastinya nafsu menjadi jurulatih pasukan. Hati dan akal hanya tempat perlawanan sahaja. Jika permainan, siapakah pengadilnya? Siapakah penontonnya. Sambil pengadilnya adalah wahyu tuhan dan penontonnya adalah segala makhluk selain daripada manusia dan jin. Tumbuhan, haiwan, iblis, syaitan dan juga malaikat menyaksikan perlawanan ini. Makhluk selain jin dan manusia bukan ahli permainan kerena mereka telah mengetahui bagaimana pengkisahan mereka di akhirat. Akhirnya, bagi manusia dan jin, inilah pertandingan antara hidup dan mati, tempoh permainannya berubah-rubah, ada setahun ada enam puluh tiga tahun ada seratus tahun, tetapi pastinya berakhir.

Penutup
Ini sebenarnya falsafah jiwa. Penting untuk kita ketahui apakah tujuan sebenarnya hidup kita. Ada orang bangga dengan kereta besarnya, camry misalnya. Digilap kereta itu sehingga luput waktunya dengan tuhan. Ada orang gilakan pakaian berjenama, polo misalnya. Sehingga duit itu tidak diagihkan kepada fakir miskin yang memerlukan. Begitu juga mereka yang menyintai hiburan, lalai sehingga terlupa dirinya hamba. Ada tanggungjawab yang belum dipenuhi untuk tuannya. Begitu lah, sering sahaja ada kekalahan di pihak iman. Pasukan nafsu selalu menang. Statistik juga menunjukkan sedemikian. Yang memihak kepada iman hanya mereka yang benar-benar ikhlas berjuang di medan permainan, yang menyarung jersi berwarna itqan dan ihsan. Saudara, marilah kita pulang kepada akal dan perasaan. Supaya kita bersama kumpulan iman. /ah.

Comments

Joyah Sempoi said…
salam ustaz..

lama jugak menunggu tulisan dr ustaz.....

yang pasti, sbg hamba yang diberi banyak nikmat...sy selalu mengingatkan diri bhw apa yang ada hanyalah pinjaman semata...

sy juga sentiasa ingatkan diri untuk banyakkan muhasabah kerana takut terlalu taksub dgn hiasan dunia...mintak dijauhkan..
Amir Hamzah said…
Salam Joyah...

Mintak maaf la. Tak sempat nak tulis. Sekarang dah take over pejabat. Bos balik cuti mesia.

Tu la, kadang kita lupa kita ni sapa. Tak de pun milik kita. Semue Allah yang punya. Kita usahakan saja. Apa yang kita dapat, Allah yang punya. sebab kita hamba.

Kalu kita makan ayam besar, ingatlah masih ada yang tak mampu nak makan, even nak jumpa roti sari pun payah. Kene jugak ajar anak2 kita pasal ni.

Gilap diri dari dalam dan luar. Dalam melaui zikir, luar melalui sedekah. Cuba berzikir, pasti ada satu perasaan yang datang, kotaran pada hati jatuh setiap kali kita zikir selepas solat. Macam kita simbah air ke cermin. Air tu akan turunkan kotaran pada cermin ke bawah. Lepas kita tinggal zikir, kotoran tu mari balik.

Semoga Allah bantu kita. amin.
Joyah Sempoi said…
salam ustaz...

saya nak kongsi satu blog yang sangat menarik untuk dibaca..berulang kali saya bc penulisan di blog ini..sangat insaf tp apa daya kita ustaz??...cuba komen sikit..

http://muslimvillage.wordpress.com/
Amir Hamzah said…
#Joyah: Saya cuma go tru je blog tu. Tak baca lagi. Saya tak dapat nak komen lagi pasal Knight Templar ni. Maaflah. Saya juga dapati blogger ni ada masukkan beberapa hadith. Hadith ni, sebenarnya ada etika dalam penulisannya. Pertama, penulis yangmembawa hujah hadith hendaklah mengentahui status hadith samada sahih atau tidak dan yang paling penting adalah bukan hadith Maudhu' (Hadith palsu). Penulis perlu ada rujukan kepada teks hadith yang asal dalam bahasa Arab (Penulis perlu boleh berbahasa Arab). Sekurang-kurangnya ada Rawi yang paling awal selepas nabi yang meriwayatkan hadith. Kalau nak tulis sanad (aliran perawi yang membawa hadith kepada rasulullah) lagi bagus. Kita tidak boleh ambil hadith daripada teks orang lain yang tidak lengkap etika yang saya sebutkan. Sekiranya penulis berhujjah berkenaan akidah, penulis wajib mengetahui hadith berkenaan lebih tinggi daripada hadith Dhaif (lemah segi sanad atau ada cacat atau syaz dalam teks hadith atau ada khilaf dengan hadith lain). Hadith dhaif hanya boleh digunakan dalam aspek ibadah berbentuk kelebihan beramal dan bukan prinsip ibadah (menurut sesetengah ulama).

Tentang pakatan musuh Islam memerangi Islam dalam pelbagai aspek, bukan sahaja peperangan fizikal malah melalui jarum2 halus yang ditusuk ke perut umat Islam, telah lama diketahui. Namun begitu akibat kelemahan umat Islam dan gilakan kuasa, maka kesatuan Islam untuk keluar daripada bala ini tidak pernah wujud. Bukan Kristian sahaja yang membenci Islam, bahkan agama-agama lain juga. Mereke iri hati dengan Islam kerana mereka tidak boleh nafikan Islam adalah agama yang terbaik dan paling betul. Mereka telah cuba untuk menyimpang ajaran Islam dari dahulu lagi, mereka tidak mampu.

Tinggallah anak-anak kita menjadi mangsa keganasan kaum kafir ini. Mereka merancang tetapi Allah sebaik-baik perancang. Anak-anak itu telah dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w. Yang saya gusarkan adalah kita yang tidak ada jaminan ke syurga.

Semoga kita didekatkan dengna syurganya...

Popular posts from this blog

Hiasi Harimu dengan al-Quran

Merindui Semangat Muhammad Al-Fatih

Muhammad: Namamu Teragung