Mendidik Jiwa yang Liar

Oleh Mohd Amiruddin Hamzah

Sedar-tidak sedar, usia bumi ini telah dijangkakan melebihi 4.55 billion tahun. Kehidupan bumi ini telah dijelmakan kehadapan Rasulullah s.a.w ketika peristiwa mikraj baginda ke langit. Datang seorang perempuan tua berbongkok-bongkok dengan tangan dan badan dipenuhi dengan perhiasan daripada emas dan permata. Sayugia penciptaan bumi ini jauh lebih awal daripada penciptaan manusia. Sayugia kehidupan dunia ini tidak lain adalah permainan. Lihatlah dunia itu sendiri, yang digambarkan walaupun telah berusia, tetapi masih tenggelam dengan nikmatmya.

Jiwa adalah perkataan Melayu asal yang bererti diri seseorang. Jiwa jika diterjemahkan dalam bahasa Arab bermaksud nafs dan lebih mirip kepada sesuatu yang dikonsepkan sebagai nafsu dalam istilah Melayu. Menurut satu riwayat (yang tidak dapat diingati oleh penulis akan usulnya) bahawa nafsu ini dijadikan oleh Allah sebelum kejadian manusia Adam a.s. Apabila terjadinya nafsu, duduknya di hadapan Allah s.w.t, maka ditanya oleh Allah akan nafsu, siapakah kamu? terus jawabnya, engkau adalah engkau dan aku adalah aku. Disuruhkan nafsu itu direndam dalam api neraka selama 40 tahun dan di bawa kembali dan ditanya dengan soalan yang sama, masih lagi jawabnya sama. Disuruh lagi nafsu diselam dalam telaga api neraka selama 40 tahun begitulah berulangnya, maka yang terakhirnya dibawa kepada Allah dan ditanya, maka barulah jawabnya, aku adalah aku, dan engkau adalah tuhan (pencipta) ku.

Jelas daripada riwayat ini betapa kerasnya dan liarnya satu makhluk yang diciptakan oleh Allah yang dikenal sebagai nafsu. Liar adalah satu perkataan Melayu yang membawa maksud yang abstrak. Liar boleh dipadankan dengan apa-apa sahaja benda hidup sama ada tumbuhan (tumbuhan liar) atau haiwan (haiwan liar). Jarang sekali dipadankan dengan manusia lantaran akal yang ada pada manusia berbeda dengan situasi sang haiwan dan tumbuhan yang tidak mempunyai akal untuk berfikir. Tapi, apakah akal yang ada kepada manusia itu menjadi hijab daripada manusia menjadi 'liar'. Sang tumbuhan menjadi liar apabila ia tumbuh selepas dibawa angin debunganya. Maka tumbuhnya tanpa diminta dan sesetengahnya dibenci manusia. Kerana keliaran tanaman itu menjadikan kawasan bersemak dan tidak terurus. Sama juga keadaannya dengan haiwan yang digelar haiwan liar. Haiwan liar adalah haiwan yang hidup sendiri tanpa penjagaan atau pemeliharaan manusia atau gembala. Sedang haiwan itu mempunyai struktur dan fungsi yang amat pelbagai, guna untuk melengkapkan komposisi alam.

Oleh kerana haiwan mempunyai para konsep yang sama dengan manusia, bezanya dengan pertuturan dan akal, maka perbandingan haiwan dengan manusia amatlah padan. Haiwan liar (dan sesetengahnya buas) bukanlah didorong oleh kehendak jiwa mereka. Seperti seekor harimau yang mengejar dan membaham seekor rusa, bukanlah akibat kebuasannya serangan itu dilakukan, tetapi adalah tabiat dan perlakuan semulajadi yang telah diciptakan oleh Allah s.w.t dalam jiwa sang harimau. Bukanlah kerana nafsu harimau ini melanggar batas kehidupan dengan membunuh.

Namun bila dibandingkan dengan manusia, liar yang ada pada manusia amatlah sukar untuk diekstrakkan dengan kata. Dalam bentuk yang lebih tidak sekata, liar yang ada pada manusia kadang-kadang membawa manusia itu terkeluar dari batas manusia. Dalam keadaan tertentu, liarnya sikap manusia, menjadikan manusia ini haiwan bahkan lebih sesat daripada itu. Itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah bahawa manusia yang musyrik itu laksana haiwan bahkan lebih sesat daripada itu. Manusia boleh diistilahkan sebagai manusia liar apabila berada jauh dalam hutan dan hidup secara kuno. Namun begitu, daripada istilah psikologi, liar yang dipadankan dengan manusia adalah liarnya jiwa yang ditunjangi oleh nafsu. Dan nafsu, dalam mempunyai martabat yang tertentu, kebanyakannya menyuruh kepada kejahatan.

Liarnya jiwa meyebabkan kita sentiasa berlengah-lengah dalam sembahyang. Jangan dulu kita berkira-kira dengan jari kita perbuatan jelek lain untuk melihat liarnya jiwa. Cukuplah dengan bersembahyang. Tapi lantaran dengan sedikit iman yang ada pada diri kita, maka jiwa yang liar itu seakan terkunci dan terkurung. Secara analoginya, apabila kita berjalan ke sebuah zoo dan melihat seekor harimau yang dikurung dalam kandang. Tidak ada seorang pun yang percaya harimau itu 100% jinak bahkan mungkin lebih 50% liarnya masih ada (kerana memang tabiat jiwanya begitu). Tetapi oleh kerana harimau itu terkurung, maka kita rasakan 100% selemat dan amatlah mustahil sekiranya pintu kurungan itu dikunci, harimau itu mampu untuk memecahkannya. Samalah seperti jiwa, dek kerana adanya kurungan iman, maka nafsu itu agak segan untuk meliar. Tetap juga bersembahyang, tetapi masih dalam keadaan gundah gulananya jiwa, dek kerana sematan nafsu masih ada dalam jiwa badannya.

Lihat sahaja bagaimana nafsu yang buas telah masuk ke dalam satu jiwa yang terlekat pada manusia yang juga memiliki akal. Maka diciptakanlah segala-galanya dengan harapan untuk memenuhkan kehendak jiwanya yang liar. Diwujudkanlah konsep perkahwinan sejenis. Lihatlah betapa liarnya seorang lelaki apabila menciumi seorang lelaki lain dan berkasih sayang dengannya. Tidakkah jelek? Bahkan haiwan pun tidak melakukan sedemikian. Lihak pula seorang perempuan yang berkasih sayang dengan perempuan sehingga dalam selimut yang sama, tidakkah ini petanda betapa jiwa mereka ini liar dan gila? Lihat pula berpasang-pasang manusia yang berzina ditempat terbuka. Timbullah satu istilah baru "public sex maniac" iaitu kegilaan melakukan seks secara terbuka dan seronok apabila ditontoni oleh orang lain. Apakah itu bukan melebihi liarnya haiwan? Ini kerana jiwa yang liar tidak dikurungi dengan iman atau kurungan yang ada hanyalah kurungan rapuh dan usang dimakan anai-anai, lopong dalamnya, elok diluarnya.

Lihat lagi betapa liarnya manusia, sehingga meminum darah manusia dengan mengaut kepentingan duit dan harta duniawi. Liarnya apabila hak orang dirampas dan hak mereka yang berhak dinafikan. Sesetengah penafian dibuat dalam bentuk yang 'sah' dari segi undang-undang manusia. Tidakkah ini menjadi bukti asparagus bahawa jiwa lebih berkecamuk dengan liarnya jiwa dan liarnya fikiran manusia. Analogi-analogi seperti ini sebenarnya amat jarang digemari manusia, menyebabkan hati kita amat jauh dan sukar untuk berfikir mencari kebenaran, lantaran jiwa (nafsu) yang selalu mendorong kepada kejahatan dan kebodohan.

Bagaimana untuk mendidik jiwa yang liar ini? Kalau sang singa boleh dikurung, sang anjing boleh ditambat, bagaimana dengan manusia? Mendidik jiwa yang liar bukanlah seperti memetik jari ditangan atau boleh diperlakukan seperti haiwan liar yang ditembak dengan pelali untuk dikurung dalam kurungan besi. Kalau digarap kembali riwayat betapa degilnya nafsu ketika berada di hadapan tuhannya, maka sudah tentu konklusinya, perlu sahaja nafsu itu dikurung dalam satu kurungan logam yang tidak boleh dikorek untuk dibolosi keluar. Justeru, adakah perlulah kita membina sebuah kurungan untuk mengurung jiwa yang liar, sehinggalah jiwa ini akan duduk diam dalam diri seseorang manusia. Tetapi, lihat juga, betapa seekor singa yang dikurung rapi tetapi tidak diberi makan, maka apabila terlepas dari kurungan, maka berseghailah darah penjaganya lantaran laparnya singa berkenaan.

Berbalik kepada manusia, jiwa yang dikurung dengan kurungan iman, bukan sahaja boleh dikurung begitu sahaja. Hendaklah diberi makan yang enak-enak agar nafsu itu duduk diam dan tidak kelaparan. Oleh kerana jiwa itu berbentuk rohani (bersifat roh - tidak dipandangan mata manusia), makanannya juga perlulah berbentuk rohani, itulah ritma dan rentak zikir kepada Allah yang beralun setiap masa daripada lidah sang manusia.

Kurungan iman ini bukanlah satu yang boleh dibanggakan. Kita melihat bangga apabila seorang pelatih singa atau buaya dapat mencium mulut haiwan berkenaan tanpa dimakan oleh binatang tersebut. Bermakna, telah hilang segala unsur liar dan kebajatan yang ada pada singa dan buaya terbabit sehingga menjadi yang sangat jinak, bahkan boleh menjadi kawan kepada pelatihnya. Jika nafsu ini, secara analoginya seperti binatang tersebut, fahamlah kita bahawa sekiranya nafsu itu dididik dan dilatih untuk menjadi kawan, maka dialah yang menjadi kawan yang setia kepada kita. Menuntun kita dan menyelamatkan kita sekiranya dalam bahaya. Itulah nafsu mutmainnah, nafsu ketenangan yang membawa kepada kebahagiaan apabila pulang kepada tuhan dengan rahmat dan kasih sayang.

Justeru, nafsu juga mempunyai jiwa, sebagaimana ianya dididik oleh Allah melalui selaman api neraka kemudian mengakui dirinya siapa dan mengenal tuhannya. Marilah kita sedar dan memahami erti dan pengertian jiwa. Kita tidak akan tertipu bahkan mendapat seorang kawan dalam menemani kita dalam perjalanan nurani dan kembara deri untuk bertemu dengan Tuhan, sang pencipta, abadi dan abadi. /-ah

Comments

Joyah Sempoi said…
nak mendidik jiwa ni bukan sehari dua...bahkan ada orang yang bertahun2 mencari ilmu pun masih gagal cari 'jiwa sendiri',inikan pulak kita yang tak mencari ape2 dalam hidup...saya takut tengok gelagat manusia akhir zaman nie...kadang2 terfikir, salah siapa??.....
ustazshafiee said…
adinda:
posting yang menarik.

abang ingin manarik perbincangan ini kepada ayat al-Quran al-Baqarah 30:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana (kerosakan) dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

inilah sifat asal manusia menurut fahaman malaikat: membuat kerosakan dan menumpah darah.
namun Allah telah memasukkan ilmu tentang asma'(nama-nama) kepada Adam. setelah itu Allah menyuruh malaikat sujud hormat kepada Adam.

lihatlah kepentingan asma' (sesetnagh ulamak menafsirkan dengan ilmu, ada yang menafsirkan dengan la ilaha illah muhammadurrasulullh) dalam kehidupan kita.

dengan ilmu Allah, insyaAllah kita tak akan menjadi sesat dan liar. nafsu perlu dididik. sekadar melontar pandangan :)

wallahua'lam
ajako said…
teringat ceramah Ustaz ismail kamus, nafsu jangan dilayan, tp jgn jugak dilawan.
Amir Hamzah said…
@Cik Joyah:Memang ilmu itu menambah iman. Tapi ada ilmu yang menjauhkan kita dari iman. Jadi perlulah berhati-hati dalam menimba ilmu. Takut nanti, ilmu yang ditatng didada rupanya satu bentuk keseata pada Allah s.w.t, waiyya zubillah.

@Kekanda: Awal penciptaan manusia dirakam oleh Allah dalam Al-Baqarah. Ada beberapa catatan oleh pengikut nabi isa (Hawariyyin) seperti Barnabas yang mengungkap kejadian jiwa. Kalau dibaca injil barnabas, dapatlah diketahui asal kejadian kita dan bagaimana konfrantasi berlaku antara Iblis (mengetuai sekumpulan syaitan) dan para Malaikat.

Kalau dalam Injil dikhabarkan tentang "falling angel" iaitu sekumpulan "angel" yang memberontak dan turun ke bumi menyesatkan manusia. Kumpulan ini diketuai oleh Lucifer. Dalam Islam, Tidak ada istilah "malaikat yang berpaling tadah menderhakai tuhan". Yang ada hnyalahlah sekumpulan makhluk (diketuai oleh izazil) yang asalnya beribadat kepada Allah, tetapi mempunyai hasad dengki apabila Allah ingin menciptakan manusia. Lalu diderhakainya Allah dan mereka dilaknat. Maka turunlah ke bumi untuk bersama-sama manusia menyempurnakan sumpahnya. Lalu Allah mendedahkan dalam Al-Quran bahawa golongan ini bukanlah malaikat tetapi adalah jin yang diciptakan daripada api (Surah Kahfi). (Catatan - Injil Barnabas sudah diisytihar sebagai 'sesat' oleh Gereja Vatican. Islam juga tidak mengambilnya sebagai hujah, kerana Al-Quran sudah cukup sebagai hujah kepada injil ciptaan mereka. Sekadar pengetahuan. Masa ini, amat sukar untuk memperolehi injil barnabas ini. Kali terakhir penulis membacanya adalah pada tahun 1995 di sebuah perpustakaan di Malaysia.)

Justeru, percayalah kita, ketentuan Allah mengatasi segala-galanya. Berdoalah kita gar kita tergolong dalam orang yang dipelihara nafsunya.

@Abg.Ajak: Betul, kadang-kadang binatang buas, kalau kita cuba lawan dia, dia akan lawan kita balik. Jadi, jiwa yang liar perlu dididik dengan penuh sabar dan harap kepada Allah.

Popular posts from this blog

Hiasi Harimu dengan al-Quran

Merindui Semangat Muhammad Al-Fatih

Muhammad: Namamu Teragung